Enggan jawab ‘keluar PN’, Gerakan ‘sekolahkan’ PAS dasar gabungan

Enggan jawab ‘keluar PN’, Gerakan ‘sekolahkan’ PAS dasar gabungan

Gerakan mengingatkan sekutunya mengenai dasar gabungan iaitu agenda kesederhanaan serta menjaga kepentingan seluruh rakyat.

oh tong keong
Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata pihaknya menghormati rakan komponen Perikatan Nasional. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Oh Tong Keong enggan mengulas kenyataan pemimpin PAS yang parti itu tidak mempunyai halangan jika Gerakan mengambil keputusan keluar Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, timbalan presiden Gerakan itu mengingatkan sekutunya mengenai dasar gabungan iaitu agenda kesederhanaan serta menjaga kepentingan seluruh rakyat.

“Jadi PAS juga hendaklah menghormati Gerakan dalam usaha membela kaum Cina dan India dan bahasa ibunda mereka.

“Saya harap PAS mesti mengingati tujuan dan matlamat penubuhan PN adalah untuk kepentingan semua rakyat Malaysia, jangan mengabaikan hak kaum lain dalam usaha mementingkan kaum Melayu dan agama Islam,” katanya kepada FMT.

Oh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah yang partinya terbuka jika Gerakan keluar PN susulan perbezaan pendapat berhubung kontroversi dana sekolah Cina.

Amar berkata, setiap parti mempunyai hak dan menyerahkan kepada Gerakan untuk membuat keputusan.

Kenyataan Amar menyusul pendirian Gerakan yang tidak teragak-agak keluar PN dan parti itu kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Sementara itu, Oh berkata Gerakan menghormati rakan komponen dalam PN bagaimanapun ia tidak bermakna sekutu mereka boleh memaksa parti lain untuk mematuhi dan mengikut ‘semua arahan yang dimahukan’.

“PN bukan perikatan untuk satu kaum atau satu agama saja, tetapi untuk semua rakyat Malaysia, jadi setiap parti komponen dalam PN perlu saling menghormati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.