
Ahli Parlimen Machang dan ketua Pemuda Bersatu itu berkata, langkah itu boleh menyebabkan kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat miliknya itu dengan kos berbilion ringgit.
“Kita tak mahu DNB jadi satu lagi gajah putih yang perlukan ‘bailout’ RM5 bilion hanya kerana nak tampung Huawei,” katanya pada episod audio siar PODaBOOM.
Pada 2021, Malaysia memperkenalkan pelan supaya DNB mengawal keseluruhan spektrum 5G, dengan pelbagai pengendali rangkaian menggunakan prasarananya untuk perkhidmatan mudah alih.
Susulan kekhuatiran yang timbul bahawa monopoli DNB akan menyekat persaingan, kerajaan bersetuju membenarkan rangkaian kedua dilaksanakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, sebaik sahaja DNB mencapai liputan 80%.
Kerajaan juga bersetuju menjual 70% kepentingannya dalam DNB kepada pengendali rangkaian mudah alih.
Pada September tahun lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dwirangkaian 5G akan membolehkan penyertaan lebih berkesan daripada Huawei, mengimbangi kedua-dua teknologi Timur dan Barat.
Wan Fayhsal juga berkata, kerajaan masih belum menjelaskan bagaimana DNB akan diuruskan selepas rangkaian kedua diwujudkan, dan tidak telus berhubung isu itu dengan masyarakat umum.
Beliau berkata, tugas pembangkang adalah menyediakan semak dan imbang dan meneliti kerajaan, dan jika tugas itu tidak dilaksanakan, situasi seperti skandal 1MDB boleh berlaku.
“Kita dah pernah lihat ini terjadi. Kalau pembangkang tak kritik, kerajaan akan buat silap,” katanya.
“(Pembangkang) kritik demi kebaikan kerajaan. Jangan salahkan kita kalau sekali lagi skandal (serupa) 1MDB terjadi.”
Pengkritik memberi amaran, langkah mewujudkan rangkaian kedua boleh membawa kos lebih tinggi, hutang yang mesti dibiayai oleh pembayar cukai dan konflik kepentingan.
Dalam episod podcast Keluar Sekejap baru-baru ini, bekas menteri sains, teknologi dan inovasi Khairy Jamaluddin berkata, langkah kerajaan memperkenalkan rangkaian kedua mungkin membawa kepada kegagalan DNB, atau sekurang-kurangnya tidak berjaya seperti yang diharapkan.
Beliau memetik laporan bahawa RM900 juta mungkin dihapus kira kerana peralatan untuk frekuensi semasa tidak digunakan apabila frekuensi diperuntukkan bagi rangkaian kedua.
Khairy berkata, untuk mengekalkan jaminan kelajuan Internet 100Mbps, DNB mungkin memerlukan tambahan RM1.6 bilion disebabkan perubahan peruntukan spektrum.