PRK Nenggiri: Penganalisis setuju kenyataan Ku Li ‘tiada keperluan DAP kempen’

PRK Nenggiri: Penganalisis setuju kenyataan Ku Li ‘tiada keperluan DAP kempen’

Lau Zhe Wei berkata Tengku Razaleigh Hamzah pastinya mempunyai alasan sendiri untuk memastikan kemenangan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon pada PRK Nenggiri, 17 Ogos depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik senada dengan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa tiada keperluan untuk DAP turun berkempen pada PRK Nenggiri, bulan depan.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata kenyataan Razaleigh atau Ku Li itu pastinya mempunyai asas sendiri untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

“DAP memang tidak diperlukan di Nenggiri, kalau turun pun mungkin tak banyak bantu malah jadi bahan serangan Perikatan Nasional (PN).

“Akhirnya Umno yang kena leraikan (jawab),” katanya kepada FMT sambil menjelaskan salah faham itu juga mungkin berpunca akibat masalah komunikasi.

Semalam, FMT melaporkan penafian Razaleigh meminta DAP tidak turun atau menjauhi kempen PRK Nenggiri seperti dilaporkan sebuah portal berita, Khamis lalu.

Sebaliknya, pengarah Umno untuk PRK itu menjelaskan beliau hanya berkata tiada keperluan DAP berkempen pada PRK berlangsung 17 Ogos depan terbabit.

“Saya kata, untuk apa pemimpin DAP di sini? Kebanyakan mereka bukan Melayu dan ini (Nenggiri) adalah kawasan 100% Melayu. Jadi, itulah sebabnya. Ia berhenti di situ,” katanya yang turut menjelaskan beliau tiada kuasa menghalang mana-mana orang datang ke Nenggiri.

Azmi Hassan.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpendapat kenyataan Ku Li itu membuktikan realiti sebenar pertembungan di Neggiri adalah membabitkan pertembungan ‘Umno dan PAS’ walaupun PN meletakkan calon Bersatu.

“Di Nenggiri saya pasti penyokong PH tidak akan membawa perbezaan ketara,” katanya.

PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong apabila dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.

Keahlian Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.