
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Balachandran Gopal Krishnan mendakwa dasar perjuangan PAS harus diambil kira dan difahami memandangkan statusnya sebagai ‘peneraju’ Perikatan Nasional (PN).
“PN diterajui PAS, itu realitinya dan sesiapa yang ingin bersama PN wajib memahami dasar perjuangan PAS yang mementingkan ‘sumber halal dan haram’,” katanya kepada FMT.
Sambil meminta Gerakan tidak termasuk dalam perangkap DAP, Balachandran berkata PAS mempunyai perhitungan sendiri yang tidak mahu berkompromi dalam aspek keberkatan sumber termasuk untuk pendidikan.
“Jadi rakan komponen harus bercakap dengan kita (PAS) sebelum keluarkan kenyataan,” katanya sambil menegaskan pendirian PAS itu juga seiring hasratnya melahirkan ‘masyarakat berkat’ dan negara sejahtera.
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari kecewa dengan pendirian Gerakan berhubung derma syarikat arak kepada sekolah, sambil membayangkan tidak mustahil ikatan politik mereka boleh putus pada PRU16.
Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.
Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntuk dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.
Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.
Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.
Isu itu tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.
Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.
Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.