
Suspek wanita itu sebelum itu menghilangkan diri bersama tiga anaknya berusia antara tiga hingga 12 tahun, mendorong suaminya membuat hebahan di media sosial meminta bantuan orang ramai mengesan mereka.
Ketua Polis Pontian Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat laporan polis pada 9.47 malam kelmarin.
Laporan itu dibuat susulan mesej yang diterima di WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali meminta wang RM2,000 sekiranya mahu isteri dan anaknya pulang.
Menurut Mohammad Shofee, pada Khamis lepas, mangsa menghantar isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an bersama tiga anaknya ke perhentian bas di Kampung Sepakat Jaya, Pekan Nanas, untuk pulang ke kampung di Kota Tinggi.
Bagaimanapun, wanita itu gagal dihubungi selepas itu dan ibunya memaklumkan bahawa mereka tiada di Kota Tinggi.
“Keesokannya mangsa menerima ugutan melalui WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali meminta sejumlah wang sekiranya mahu isteri dan anaknya pulang,” katanya, lapor Buletin TV3.
Mohammad Shofee berkata, bertindak atas maklumat, dua serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan di Kluang malam tadi.
“Wanita itu bersama dua anak perempuan dan seorang anak lelakinya (didapati) berada dalam keadaan selamat di sebuah hotel.
“Manakala teman lelakinya, seorang peniaga berusia dalam lingkungan 40-an, ditahan di sebuah rumah,” katanya menambah, kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari hingga Rabu bagi membantu siasatan.
Mohammad Shofee berkata, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 358 Kanun Keseksaan.