
Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari, berkata mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemukan pada 10 pagi berhampiran Kuala Cenang, kira-kira 150m dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Cenang dan identitinya disahkan oleh ayah mangsa. Pengesahan kematian telah dilakukan pihak Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.
“Bedah siasat dijangka akan dilakukan pada pukul 2 petang. Operasi ditamatkan pada 10.45 pagi,” katanya menurut Bernama.
Semalam, dilaporkan mangsa datang ke Pantai Cenang bersama abang ipar, kakak, dan adik perempuan serta lima lagi rakannya, untuk menyambut hari lahir adiknya sebelum turun ke pantai untuk mandi.
Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan adik perempuannya berusia 14 tahun yang juga hampir lemas, bagaimanapun adik mangsa serta dua rakan lelaki mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala mangsa hilang.
Sementara itu, Ketua Bomba Zon Langkawi Mohd Zamri Abd Ghani, berkata operasi yang ditangguhkan pada 7.30 malam semalam, telah disambung pada 8.40 pagi tadi, sebelum mayat mangsa ditemukan pasukan bomba dan bot nelayan tempatan.