
Pasangan nombor empat dunia itu berjaya menundukkan gandingan Kanada, Nyl Yakura-Adam Dong 21-10, 21-15 dalam aksi Kumpulan A di Porte de La Chapelle Arena, lapor Berita Harian.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik dalam saingan Kumpulan A selepas turut menewaskan pasangan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 pada aksi pembukaan, semalam.
Mereka dijadual menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi terakhir, esok yang dijangka menjadi penentuan untuk juara kumpulan.
Mengikut format pertandingan, juara dan naib juara kumpulan dalam acara beregu layak ke peringkat suku akhir.
Terdahulu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut menghidupkan peluang mereka ke peringkat suku akhir selepas mengejutkan pasangan keenam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada aksi Kumpulan A.
Bernama melaporkan, pasangan itu mencatakan kemenangan 18-21, 21-15, 21-16, ke atas juara dunia 2018 dan 2019 Matsumoto-Nagahara di Porte De La Chapelle Arena.
Semalam, mereka membuka kempen Paris 2024 dengan kekalahan 17-21, 20-22 selepas aksi sengit selama 55 minit menentang gandingan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, pada aksi pertama.