Zahid minta ahli tumpu perkasa Umno, usah fikir sistem pemilihan

Zahid minta ahli tumpu perkasa Umno, usah fikir sistem pemilihan

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata cadangan mengembalikan sistem lama pemilihan parti bukan keutamaan ketika ini.

zahid
Zahid Hamidi meminta ahli Umno tidak menumpukan terhadap cadangan mengembalikan sistem lama pemilihan parti memandangkan ia hanya akan diadakan dua tahun lagi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan mengembalikan sistem lama pemilihan Umno bukan keutamaan kini dan hanya akan dilakukan jika ada keperluan atau tiba masanya, kata Zahid Hamidi.

Bagaimanapun presiden Umno itu berkata, parti tetap terbuka dan bersedia meneliti sebarang cadangan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, setakat ini cadangan berkenaan tidak dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Namun kita bersedia untuk membuka sebarang cadangan bagi menentukan peraturan baharu dalam sistem pemilihan parti apabila tiba masanya nanti. Sebagaimana yang kita ketahui, pemilihan Umno ini hanya akan dibuat pada 2026.

“Jadi ada tempoh dua tahun daripada sekarang untuk meminda peraturan (pemilihan) sedia ada, sama ada ia perlu di bawa ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas jika membabitkan pindaan perlembagaan parti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Umno Mersing, menurut Berita Harian.

“Jika sekadar babit peraturan, ia akan dibawa ke mesyuarat MKT Umno.”

Semalam, sebuah portal melaporkan Umno bercadang kembali kepada sistem lama pemilihan parti melibatkan jawatan tertinggi di peringkat pusat, selepas lebih sedekad beralih kepada sistem yang memberikan lebih ramai ahli parti di seluruh negara untuk memilih kepimpinan tertinggi.

Cadangan itu didakwa antara usul yang hangat dibincangkan pada mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian menjelang PAU yang akan berlangsung bermula 20 Ogos ini.

Selain itu, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) meminta ahli parti tidak menumpukan terhadap cadangan itu.

“Kita jangan fikirkan soal pemilihan parti kerana ia (pemilihan) tidak akan diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan. Ia hanya akan berlangsung pada 2026, dua tahun lagi.

“Saya harap semua kepimpinan parti di peringkat nasional, negeri dan pelbagai peringkat supaya kita tumpukan kepada kerja-kerja memperkuatkan parti, yang jadi keutamaan ketika ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.