
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata nama Tingkatan 6 itu dilihat masih menggambarkan mereka sebagai pelajar sekolah dan tidak begitu sesuai.
“Jangan guna istilah Tingkatan 6 dan tukar kepada Kolej Pra Universiti sebagai persiapan untuk masuk ke universiti. Untuk penjenamaan mesti bermula dengan nama supaya pelajar dapat pengalaman baru,” katanya kepada FMT.
Pada 23 Julai lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka melaksanakan Kolej Tingkatan 6 Premium tahun depan, iaitu program khusus bagi meningkatkan mutu dan kualiti pengajian itu.
Beliau berkata, KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi giat bekerjasama untuk merealisasikan inisiatif itu, yang menyahut hasrat kerajaan ingin melihat Tingkatan 6 terus menjadi pilihan utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anuar yang menyokong inisiatif itu kerana memberi banyak pilihan kepada lepasan SPM turut mencadangkan tenaga pengajar bagi pelajar Tingkatan 6 dijenamakan daripada guru kepada pensyarah.
Katanya, pentadbiran juga perlu dirombak dengan mewujudkan jawatan pengarah yang mengetuai Kolej Pra Universiti.
“Nilai tambah lain boleh dibuat adalah menyediakan kolej untuk Tingkatan 6, dan tidak lagi diajar di sekolah. Ini dilihat menarik minat ibu bapa untuk hantar anak ke Tingkatan 6.
“Tubuh kolej baru dan reka bentuk mesti tidak seperti sekolah, perlu direka seperti kampus sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ainol Madziah Zubairi, berkata penjenamaan Tingkatan 6 sahaja tidak mencukupi sebaliknya beliau mencadangkan kemasukannya dibuat secara automatik.

Beliau percaya lebih 50% lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi akan memasuki Tingkatan 6.
“Silibus Tingkatan 6 juga perlu lebih fleksibel antara kemahiran dan akademik. Jadi, ia perlu lebih fleksibel untuk memasuki subjek sains, sains sosial dan kemahiran serta vokasional.
“Ini untuk memastikan sijil Tingkatan 6 lebih mudah untuk sambung ke pengajian lebih tinggi,” katanya.