Pakar gesa wujud undang-undang kawal selia media sosial

Pakar gesa wujud undang-undang kawal selia media sosial

Pakar keselamatan siber juga mahu tindakan dikenakan terhadap penyedia perkhidmatan dalam talian kerana membiarkan aktiviti buli siber berlaku.

Pakar berkata Malaysia kekurangan peraturan mengenai buli siber.
PETALING JAYA:
Dari satu sudut, media sosial mempunyai banyak kebaikan kerana ia merapatkan hubungan, membuka akses kepada ilmu pengetahuan dan menyatukan semua orang.

Bagaimanapun, teknologi itu mempunyai sesi gelap yang boleh menyebabkan keruntuhan kewangan, masalah kesihatan, bahkan lebih buruk lagi mengakibatkan kematian.

Kes kematian seorang pempengaruh TikTok, A Rajeswary baru-baru ini yang dikaitkan dengan buli siber, menyingkap sisi gelap komunikasi massa, dan membangkitkan desakan bagi mewujudkan satu kerangka undang-undang bagi mengawal selia platform media sosial.

Sehari sebelum kematiannya, aktivis hak-hak Hindu berusia 29 tahun itu, yang juga dikenali sebagai Esha, membuat laporan polis terhadap dua individu didakwa mengganggunya di TikTok.

Salah seorang daripada mereka, P Shalini, 34, didenda RM100 selepas mengaku bersalah di mahkamah kerana terbabit perbuatan menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman. Ramai berpendapat denda dikenakan itu terlalu ringan.

Hukuman terhadap seorang lagi tertuduh iaitu pemandu lori B Sathiskumar, 43, masih belum ditetapkan mahkamah.

Pakar keselamatan siber Universiti Sains Malaysia, Selvakumar Manickam, berkata undang-undang sedia ada, seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lebih banyak menangani bentuk buli tradisional kerana ia dibuat sebelum penggunaan internet menjadi meluas.

“Malaysia kekurangan peraturan mengenai buli siber,” katanya kepada FMT.

“Tiada undang-undang yang mengikat platform media sosial untuk bertanggungjawab, terutama yang berpangkalan di luar negara,” katanya.

Selvakumar berkata, Malaysia boleh mencontohi negara seperti Jerman, di mana kuasa NetzDG mengwajibkan kandungan berbahaya diturunkan. Akta Keselamatan Dalam Talian Australia pula mengenakan penalti untuk buli siber manakala Singapura mengklasifikasikan buli siber sebagai jenayah dalam Akta Perlindungan Gangguan.

Penyedia perkhidmatan perlu dipertanggungjawab

Pengasas bersama dan CEO Verge IoT, Vicks Kanagasingam, berpandangan hukuman kepada pembuli siber sebagai langkah reaktif, ‘seperti menampal luka’.

Beliau berkata, penyedia perkhidmatan dalam talian yang termasuk platform media sosial, perkhidmatan emel, laman berita, platform e-dagang, dan enjin carian, harus dikawal selia.

Penyedia perkhidmatan dalam talian adalah entiti menawarkan perkhidmatan penghantaran data, penghalaan (routing) atau sambungan untuk komunikasi digital.

Vicks berkata, pengawal selia kini hanya cenderung menangani isu itu selepas masalah timbul.

“Kita sepatutnya pergi kepada penyedia perkhidmatan dalam talian dan mengawal selia mereka kerana membenarkan ia berlaku (buli siber),” katanya.

Beliau juga mencadangkan penyedia perkhidmatan dalam talian dan penyedia perkhidmatan mesej segera dipertanggungjawabkan atas penipuan dalam talian, seperti akan dilakukan di Singapura bawah Kerangka Tanggungjawab Bersama (SRF) dilancarkan akhir tahun ini.

Bawah SRF, syarikat telekomunikasi dan institusi kewangan juga akan bertanggungjawab atas kerugian menerusi penipuan atau ‘scammer’.

CEO firma keselamatan siber Novem CS, Murugason Thangaratnam, pula memilih Akta Perkhidmatan Digital Kesatuan Eropah, yang berkuat kuasa pada November 2022, sebagai model kerangka kawal selia.

Undang-undang itu mewajibkan penyedia perkhidmatan menambah ‘prosedur baru untuk penghapusan lebih cepat’ kandungan yang dianggap haram atau berbahaya.

Penyedia perkhidmatan juga diwajibkan memperkenalkan ‘mekanisme jelas’ untuk membantu pengguna melaporkan kandungan haram.

Ketidakpatuhan boleh mengakibatkan denda sehingga 6% daripada jumlah perolehan tahunan global penyedia perkhidmatan itu dan mungkin menyebabkan kawalan ditingkatkan.

Platform digital besar juga harus melakukan penilaian risiko tahunan untuk menganalisis dan mengurangkan risiko sistemik, termasuk penyebaran kandungan haram, serta mengaudit impaknya terhadap keganasan berdasarkan jantina dan golongan bawah umur.

Usaha bersama

Seperti dibangkitkan Murugason, menangani buli siber memerlukan kerjasama antara agensi penguat kuasa undang-undang, sektor pendidikan dan penyedia perkhidmatan dalam talian.

“Ia adalah batu asas kepada tindak balas efektif dan pencegahan terhadap aktiviti intai siber dan buli siber,” katanya.

Vicks berkata, mengintegrasikan keselamatan dalam talian dan literasi media dalam kurikulum pendidikan boleh meningkatkan kesedaran mengenai masalah itu.

Katanya, ini akan meningkatkan kewaspadaan dan memastikan pengguna mengenal pasti aktiviti buli siber ketika ia berlaku.

“Kita perlu memulakannya di sekolah, dari akar umbi. Memahami masalah ini adalah kunci untuk mencipta harmoni dan membolehkan negara kita berkembang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.