
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan berkata, pengurangan 10% penggunaan air domestik dapat membantu PBAPP jimat 50 juta liter sehari (JLH).
“Jadi, jika setiap pengguna air domestik Pulau Pinang dapat mengurangkan 10% penggunaan air, kita akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga hujan tiba pada September depan,” katanya dalam kenyataan.
Pathmanathan berkata, taburan hujan rendah sejak Januari lalu menyebabkan penurunan kapasiti efektif di dua empangan utama, selain menjejaskan pengeluaran air terawat yang sekali gus memberi kesan kepada operasi bekalan air di Pulau Pinang.
Semalam, beliau dilaporkan berkata, Empangan Air Itam mencatatkan kapasiti efektif rendah, iaitu 41.1% dan Empangan Teluk Bahang 31.9%.
Pengeluaran air terawat lebih rendah turut dicatatkan di Loji Rawatan Air Terjun disebabkan kekurangan air mentah dari Kawasan Tadahan Air (KTA) Air Terjun, selain pengeluaran air terawat lebih rendah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang akibat kekurangan air mentah dari KTA Titi Kerawang.
“Kekurangan taburan hujan juga menyebabkan bacaan paras air bawah 2m di muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang selama 16 hari berturut-turut sejak 11 Julai lepas, dengan kapasiti efektif Empangan Muda yang dibina untuk melepaskan air ke Sungai Muda turut menjunam kepada 9.9% pada 25 Julai (Khamis lalu).
“Bagaimanapun, mujur kapasiti efektif Empangan Beris di Kedah berada pada 60.2% dan Kedah sedang melepaskan air ke Sungai Muda, manakala PBAPP juga melepaskan rizab Empangan Mengkuang Diperluas (EMD) setiap hari untuk menambah pengambilan air mentah dari Sungai Muda.”
Katanya, PBAPP perlu mendapatkan air mentah mencukupi dari Sungai Muda dan melepaskan air daripada EMD untuk mengekalkan operasi pengeluaran air optimum di LRA Sungai Dua yang juga LRA terpenting di Pulau Pinang.
Menurutnya, PBAPP sedang mengaktifkan pelan pengurusan krisis bagi meminimumkan kesan isu taburan hujan rendah serta memastikan Pulau Pinang mempunyai air mencukupi sehingga musim hujan tiba September ini.