
Sinar Harian melaporkan perintah reman terhadap ibu dan anak berusia 50-an dan 30-an itu dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Sandakan pagi tadi.
Terdahulu, sumber berkata, suspek pertama dan anak perempuannya ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan kira-kira 7 malam Jumaat.
Menurutnya, dua beranak itu dipercayai menjadi orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian Filipina yang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2022 dan melibatkan wang rasuah kira-kira RM20,000,” katanya menurut akhbar itu.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau tidak menolak kemungkinan tangkapan lain akan dibuat susulan penahanan itu.