
Tay dalam satu kenyataan berkata PKR dan DAP Sarawak tetap ada pengaruh kerana PH masih ada wakil di parlimen dan DUN negeri itu.
“Sejarah juga pernah membuktikan PH Sarawak pernah memenangi banyak kerusi parlimen dan DUN,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau mengulas kenyataan Abang Johari dalam program audio siar Keluar Sekejap, Isnin lalu yang secara berseloroh berkata DAP dan PKR ‘tidak wujud’ di Sarawak yang menyebabkan dominasi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Gabungan pemerintah itu menguasai 80 daripada 82 kerusi di DUN Sarawak manakala bakinya milik dua wakil DAP Chong Chieng Jen (Padungan) dan Violet Yong (Pending) selaku pembangkang.
Tay berkata PKR Sarawak sentiasa berhati-hati dalam menjaga hubungan baik antara parti dalam kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermaksud PKR Sarawak sanggup menerima ejekan atau penghinaan parti lain terhadap ‘parti perdana menteri itu’.
Sementara itu, Tay juga membidas kenyataan Ahli Parlimen Julau Larry Sng yang mencadangkan PH Sarawak menyertai GPS dengan alasan kepentingan negara telah menggantikan kepentingan menyokong komponen itu.
Tay berkata adalah lebih baik Sng fokus pada parti beliau Parti Bangsa Malaysia yang hanya menang satu kerusi Parlimen sahaja.
“Tak perlu sibuk urusan PH Sarawak terutama PKR sebab beliau bukan lagi pengerusi majlis pimpinan negeri PKR,” katanya sambil menambah parti itu tidak menyokong ‘politik katak’, merujuk tindakan Sng keluar PKR tiga tahun lalu.
“Tidak perlu membuat publisiti murahan dengan cuba melaga-lagakan GPS dengan PH Sarawak.”