
Dalam award bertarikh 16 Julai, Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur menyatakan bahawa prestasi Ng Keng Seng tidak pernah dinilai sebagai tidak memuaskan sepanjang 25 tahun berkhidmat dengan firma itu.
Pengerusi mahkamah Zulbahrin Zainuddin sebaliknya mendapati antara 2017 dan 2019, majikan Ng, Maxis Broadband Sdn Bhd, berkata prestasinya memenuhi sebahagian jangkaan (PME).
Mahkamah juga menyatakan bahawa laporan penilaian tahunan Ng selama tiga tahun tidak memberikan sebab untuk penarafan PME mahupun menyenaraikan kelemahan dalam pelaksanaan tugas bagi membolehkannya dipecat.
Sebaliknya, Zulbahrin berkata walaupun mendapat penarafan PME, syarikat itu dalam tiga laporan berkenaan merakamkan ucapan terima kasih kepada Ng atas sumbangan dan komitmennya. Mahkamah juga menyatakan bahawa Ng telah menerima RM26,132 sebagai tanda penghargaan atas usahanya.
Menurut keterangan di mahkamah, Ng diletakkan dalam pelan peningkatan prestasi ad-hoc (PIP) tiga bulan pada 1 Sept 2020 berikutan tiga penarafan PME berturut-turut.
Bagaimanapun, Zulbahrin mendapati garis panduan PIP itu hanya berkuatkuasa pada Januari tahun berikutnya. Sebelum itu, hanya mereka yang dinilai tidak memuaskan sahaja yang akan ditempatkan dalam program PIP, katanya.
Menerusi award itu, mahkamah mengambil maklum bahawa tiada perhatian terhadap perincian atau keseragaman di pihak pengurusan dalam penggunaan dasar PIP yang betul kepada pihak yang menuntut (Ng), di mana telah mengelirukannya kerana kesilapan syarikat menyeababkan dia diberhentikan tanpa alasan yang adil.
Menurut Zulbahrin, pegawai atasan terdekat Ng, Macy Ho, memberi keterangan bahawa keputusan meletakkannya di bawah program PIP dibuat oleh Jabatan Sumber Manusia syarikat itu walaupun ia tidak berurusan secara langsung dengannya dalam urusan kerja.
Di bawah terma PIP, Ng telah diberikan 12 penyerahan untuk menyelesaikan tugas terasnya. Syarikat itu berkata ia bertujuan untuk meningkatkan prestasinya.
Ng menyertai syarikat itu sebagai pengendali sistem kawalan pengurusan rangkaian pada 1995, memperoleh gaji pokok bulanan RM2,400. Dia akhirnya menyandang jawatan sekarang, memperoleh RM15,920 sebulan apabila perkhidmatannya ditamatkan pada 2021.
Ng telah dianugerahkan 24 bulan gaji tertunggak, yang selepas potongan 20% untuk pendapatan selepas pemecatan, berjumlah RM305,664. Dia juga diberi gaji sebulan untuk setiap 25 tahun perkhidmatannya, berjumlah RM398,000, sebagai pampasan sebagai ganti pengembalian semula.
Patrick Tan Yan Hong mewakili Ng, manakala Maxis diwakili oleh Janice Anne Leo, Adrienne Sena dan Gurjeevan Singh Sachdev.