Kempen Nenggiri: ‘Jalan macam biasa, kita rakyat Malaysia,’ kata Johari

Kempen Nenggiri: ‘Jalan macam biasa, kita rakyat Malaysia,’ kata Johari

Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani ditanya tentang laporan memetik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai meminta DAP jauhi PRK Nenggiri kerana majoriti Melayu.

johari abdul ghani
Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia boleh tidak mengasingkan kaum-kaumnya.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin tinggi Umno percaya kempen pilihan raya tidak wajar mengasingkan kaum-kaum negara ini, kerana “kita rakyat Malaysia”.

Naib Presiden Johari Abdul Ghani ditanya tentang laporan yang memetik penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai meminta DAP menjauhi PRK DUN Nenggiri kerana kawasan itu majoriti Melayu.

“Saya lihat macam ini: Malaysia kita tak boleh asing-asing orang Melayu, orang Cina, orang India. Tak boleh asing. Bagi saya jalan macam biasa. Kita rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, sebuah laman memetik Tengku Razaleigh berkata, tiada sebab untuk pemimpin DAP yang dilihat sebagai parti majoriti Cina turun berkempen di kawasan Melayu, selain “Dia (DAP) cakap Melayu pun tak betul”.

Ia menyusuli kenyataan Pengerusi DAP Kelantan, Azaha Abdul Rani, yang dilapor berkata partinya akan turun berkempen di kawasan Orang Asli.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Datuk Keramat, bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pemberita turut bertanyakan kepada perdana menteri tentang rancangan sebuah NGO untuk berhimpun di depan pusat khidmat Parlimen Tambun.

Anwar, yang merupakan wakil rakyat Tambun, sekadar menjawab: “Ada ke? Tak mengapalah.”

Terdahulu, MCA dan MIC mengesahkan mereka akan turun berkempen untuk BN pada PRK Nenggiri, yang mengundi pada 17 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.