Bancian Esscom: 6,200 komuniti Pala’u warga Malaysia

Bancian Esscom: 6,200 komuniti Pala’u warga Malaysia

Seramai 6,200 daripada kira-kira 28,000 orang dalam komuniti Pala'u di Sabah memiliki sijil lahir serta kad pengenalan.

SAIFUDDIN NASUTION
Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan Sabah bentang inisiatif penempatan semula komuniti Pala’u dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan warga asing semalam. (Bernama pic)
SEMPORNA:
Bancian dijalankan Eastern Sabah Security Command (Esscom) mendapati 6,200 daripada kira-kira 28,000 orang dalam komuniti Pala’u di Sabah warganegara Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata golongan itu memiliki sijil lahir sah serta kad pengenalan.

Bakinya terdiri daripada mereka yang dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, membabitkan kanak-kanak dan juga ketua keluarga.

“Kita memperakui kewujudan komuniti Pala’u ini di Sabah dan semalam diadakan satu mesyuarat mengenai pengurusan warga asing di Sabah, iaitu jawatankuasa pengurusan warga asing yang saya pengerusikan bersama ketua menteri.

“Pada mesyuarat itu kami membincangkan kertas tentang komuniti Pala’u, bermula dengan data hasil kajian Esscom, kita pastikan angka mereka,” kata beliau selepas tinjauan keselamatan Kementerian Dalam Negeri ke Zon Selamat Timur Sabah.

Saifuddin berkata pada mesyuarat itu, beberapa inisiatif di bawah kerajaan negeri berhubung komuniti Pala’u turut dibentangkan.

Antara inisiatif itu penempatan semula ke lokasi dikenal pasti iaitu di Pantai Manis, dengan sasaran 50 hingga 100 rumah dibangunkan sebagai kawasan penempatan.

Inisiatif lain ialah libat urus bersama ketua keluarga supaya dapat dikenal pasti mereka yang berminat untuk bekerja dalam sektor perladangan, dan komuniti itu dilaporkan berminat dengan industri akuakultur, pertanian, dan pelbagai bidang kemahiran.

“Inisiatif ini sudah dijalankan. Anak-anak Pala’u ini ditempatkan di satu pusat di Kota Kinabalu bersama penjaga dan ada dua lagi pusat akan dibuka, bagi memastikan mereka meninggalkan kegiatan mengemis.

“Pusat ini memberikan beberapa latihan bersifat penjagaan diri termasuk kelas asas untuk mengenal huruf. Kerajaan Sabah juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan berkaitan pendidikan iaitu Haluan serta Iskul,” kata beliau.

Saifuddin berkata inisiatif yang dilaksanakan itu merupakan satu perkara yang murni dan jauh lebih baik daripada apa yang cuba digambarkan pihak luar.

“Sudah tiba masanya kita melihat inisiatif ini sebagai satu komitmen tinggi yang ditunjukkan kerajaan negeri,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.