Tak adil heret perkhidmatan awam ke dalam pertikaian politik, tegas kesatuan

Tak adil heret perkhidmatan awam ke dalam pertikaian politik, tegas kesatuan

Cuepacs ingatkan ahli politik bahawa penjawat awam tidak dapat bela diri apabila mereka heret perkhidmatan awam ke Dewan Rakyat.

penjawat awam
Cuepacs mengingatkan bahawa penjawat awam mendukung kerajaan tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan.
PETALING JAYA:
Kesatuan sekerja mengingatkan ahli politik bahawa penjawat awam tidak dapat membela diri apabila mereka mengheret perkhidmatan awam ke Dewan Rakyat.

Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan tindakan ahli politik ‘sesuka hati’ menggunakan nama penjawat awam dalam pertikaian politik sangat tidak bertanggungjawab dan tidak adil.

Presiden Adnan Mat menyeru ahli politik menghormati institusi perkhidmatan awam, mengingatkan bahawa penjawat awam mendukung kerajaan tanpa mengira latar belakang politik yang mengetuai tampuk kepimpinan, atas prinsip neutral dan profesional.

“Sebagaimana peraturan yang mengehadkan penglibatan penjawat awam daripada mengambil bahagian dalam politik, perkara tersebut perlu dihormati pemimpin politik dengan tidak mengaitkan institusi perkhidmatan awam dan anggotanya dengan sebarang pertikaian politik semasa.

“Apatah lagi sekiranya sesuatu perkara yang belum ditentukan kesahihan itu dibawa ke perbahasan di dalam Dewan Rakyat,” katanya lapor Bernama.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal, dikritik berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat, berkait surat layang yang didakwa mengandungi maklumat berkaitan ‘dalang’ di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad.

Ahli politik Bersatu itu menamakan seorang pegawai dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata perbuatan itu memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa, dan secara umum pegawai agensi berkenaan, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas.

Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.