
Katanya, lazimnya isu 3R kerap ditimbulkan dan menjadi topik perbualan rakyat pelbagai lapisan ketika musim pilihan raya.
“Sentimen 3R ini sifatnya bermusim, namun melalui rekod yang kita ada, apabila tiba pilihan raya ia akan meningkat sedikit dan selepas tamat (pilihan raya) kembali menurun,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Korpus 2024 (ICRC 2024) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim, malam tadi.
Dalam pada itu, pihak kementerian sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya dirujuk bagi membantu, andainya terdapat keperluan menggubal akta khusus berhubung 3R.
Saraswathy berkata, pihaknya terbuka bagi berkongsi segala maklumat atau data melibatkan isu yang boleh mengganggu gugat keharmonian kaum.
“Kita sedia beri pandangan dan ulasan khususnya mengenai maklumat-maklumat atau data-data berhubung isu 3R ini jika diminta,” katanya.
Pada 4 Mei lalu, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis mencadangkan individu yang menyentuh isu 3R wajar dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan itu amat serius dan boleh menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat.