Penganggur didakwa bunuh lelaki di perhentian bas

Penganggur didakwa bunuh lelaki di perhentian bas

Mazlan Mat Noh, 47, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Mahkamah Majistret Kota Bharu
Mahkamah Majistret Kota Bharu menetapkan sebutan semula kes pada 8 Dis depan bagi serahan laporan kimia, bedah siasat serta DNA.
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas kesalahan membunuh seorang lelaki di sebuah perhentian bas pada 13 Julai lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mazlan Mat Noh, 47, setelah tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mazlan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Abdul Hayyiy Ismail, 31, di perhentian bas di Lorong Che Majid, Jalan Sultan Yahya Petra pada 9.29 pagi, 13 Julai lepas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta boleh dikenakan minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Bernama.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Dis depan bagi serahan laporan kimia, bedah siasat serta asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 13 Julai lepas, Abdul Hayyiy, berusia dalam lingkungan 30-an ditemukan maut oleh orang awam di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas dipercayai akibat ditikam di belakang badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.