‘Bukan gambar YB Aiman minum arak pun’, kata pemimpin Amanah

‘Bukan gambar YB Aiman minum arak pun’, kata pemimpin Amanah

Abbas Azmi berkata orang Melayu di Selangor tidak terkesan isu tajaan syarikat arak yang turut membabitkan Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu.

Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Abbas Azmi berkata kontroversi tajaan syarikat arak tidak beri keuntungan kepada orang Melayu di Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Amanah yakin isu tajaan syarikat arak kepada sekolah yang turut mengheret Ketua Wanitanya Aiman Athirah Sabu dalam kontroversi itu, tidak memberi kesan di kalangan orang Melayu di Selangor.

Menyifatkannya ‘isu picisan’ cuba dibangkitkan penyokong pembangkang, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Abbas Azmi berkata ini kerana isu berkenaan tidak memberi keuntungan kepada mereka dan bukan membabitkan Aiman Athirah secara langsung.

Menurutnya, masyarakat Melayu di Selangor lebih bimbang jika sesebuah isu menjejaskan pentadbiran negeri dan memberi kesan kepada kehidupan mereka.

“Isuny bukan YB Aiman Athirah minum arak…kalau ada gambar beliau memakai tudung labuh sambil meminumnya itu mungkin beri kesan kepada kami.

“Ini persepsi cuba dimainkan untuk membunuh imejnya sebagai wakil rakyat dan timbalan menteri,” katanya kepada FMT sambil mendakwa pembangkang ketandusan modal di Selangor.

Beliau yang juga Adun Seri Serdang berkata kontroversi itu juga tidak memberi kesan kepada hubungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH), malah mendakwa mungkin menimbulkan simpati dari Umno.

“Umno dulu juga teruk menjadi mangsa manipulasi,” katanya.

Isu sumbangan derma syarikat arak itu tercetus susulan tular gambar Aiman Athirah Sabu hadir dalam satu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.

Aiman Athirah yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan sebelum ini telah menjelaskan mengenai kehadirannya dalam satu majlis kutipan dana sekolah di Sepang.

Menurutnya, sebagai tetamu diundang beliau tidak diberitahu penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Dua pengguna Facebook trut memuat naik hantaran menjelikkan mengaitkan Aiman Athirah dengan kontroversi itu, namun diturunkan susulan amaran saman dikeluarkan kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.