Bekal senjata api kepada lelaki Israel, permohonan ikat jamin pasangan ditolak

Bekal senjata api kepada lelaki Israel, permohonan ikat jamin pasangan ditolak

Hakim berkata, tiada keadaan istimewa dikemukakan pihak pembelaan bagi permohonan ikat jamin itu.

Abdul Azim Mohd Yasin dan Sharifah Faraha Syed Husin bernama pic 250724
Abdul Azim Mohd Yasin dan Sharifah Faraha Syed Husin tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA SELANGOR:
Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan ikat jamin pasangan suami isteri yang didakwa membekalkan senjata api kepada seorang lelaki warga Israel Mac lepas.

Hakim Ahmad Faizadh Yahya menolak permohonan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd Yasin, 43, selepas merujuk prinsip Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi berkaitan dua kes membabitkan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 sebelum ini.

“Selain itu, tiada sebarang keadaan istimewa dikemukakan pihak pembelaan bagi permohonan jaminan berkenaan. Justeru, mahkamah menolaknya,” katanya yang menetapkan 29 Ogos ini sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim berhujah kesalahan dua tertuduh itu tidak boleh diberikan ikat jamin.

“Ia antaranya bagi mengelakkan tertuduh melakukan kesalahan lebih berat ketika proses perbicaraan kes masih dijalankan dan turut dikhuatiri mengganggu saksi pendakwaan.”

Peguam Mohamad Isa Mohamad Basir yang mewakili Sharifah Faraha berkata, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk membenarkan jaminan itu.

Pada 8 April lepas, Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol CZ 75 P-01 CAL.9 Luger di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 8 malam 29 Mac lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Azim pula didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan menimbulkan anggapan munasabah dia tahu isterinya memiliki senjata api itu di lokasi, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.