Akaun Fleksibel: 3.4 juta ahli buat pengeluaran RM8.9 bilion

Akaun Fleksibel: 3.4 juta ahli buat pengeluaran RM8.9 bilion

Sejumlah 3.8 juta ahli pilih mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel dengan pemindahan RM12.6 bilion manakala RM5.6 bilion dipindah ke Akaun Persaraan.

kwsp-epf
Pengeluaran Akaun Fleksibel tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli dalam lingkungan peruntukan tunai.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 3.4 juta daripada 13.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah umur 55 tahun, membuat pengeluaran Akaun Fleksibel berjumlah RM8.9 bilion setakat 19 Julai lalu.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata bagi tempoh sama, sejumlah 29.3% atau 3.8 juta ahli KWSP memilih untuk mempunyai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) dengan pemindahan berjumlah RM12.6 bilion manakala RM5.6 bilion dipindahkan ke Akaun Persaraan.

Beliau berkata, pindahan ke Akaun Persaraan memberi kesan kepada peningkatan simpanan ahli iaitu penambahan 43,000 ahli baharu yang mencapai simpanan asas.

“Pengeluaran Akaun Fleksibel tidak memberi kesan ketara kepada KWSP kerana jangkaan jumlah pengeluaran oleh ahli dalam lingkungan alokasi (peruntukan) tunai dan pasaran wang KWSP.

“Di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) semasa, KWSP telah memperuntukkan pelaburan instrumen tunai dan pasaran wang sebanyak dua peratus hingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai peratusan pencarum yang memilih untuk memindahkan caruman ke dalam Akaun Fleksibel KWSP dan jumlah pengeluaran berkaitan.

Menyentuh implikasi ekonomi kepada negara, Amir berkata jangkaan awal pengeluaran Akaun Fleksibel pada tahun pertama adalah sekitar RM15 bilion atau kira-kira 0.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal Malaysia untuk 2023.

“Namun begitu, kesan sebenar pengenalan Akaun Fleksibel kepada pertumbuhan KDNK akan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kecenderungan cara perbelanjaan ahli,” katanya.

Pada masa sama, Amir menegaskan penstrukturan semula akaun KWSP bertujuan menambah baik jaminan pendapatan persaraan di samping memberi akses kepada akaun fleksibel pada bila-bila masa, terutama bagi tujuan kecemasan.

“Bagaimanapun ahli KWSP dinasihatkan untuk memanfaatkan pengeluaran ini bagi tujuan kecemasan dan keperluan mendesak sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.