
Menurut Berita Harian, semua tertuduh termasuk dua pengurus bank itu adalah suspek ditahan polis berkait pengeluaran RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap pelanggan sebuah bank di Sabah.
Mereka ialah dua pengurus bank Chin Nyuk Thien, 38, dan Pianus Etip, 53; Subramaniam Thangavelu, 56; Josepin J Langkan, 38; Nasir Abdul Rasid, 60; Sugumaran K Ponniah, 56; Vireonis Jonok, 35; Leong Hin Ping, 62; Hasran Magin, 46, dan Mazlani Jenuary, 53.
Semua tertuduh didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius untuk memperoleh faedah material bagi kumpulan dipimpin Josepin.
Semua individu berkenaan didakwa melakukan jenayah terbabit antara 26 April dan 10 Julai lalu di sebuah cawangan bank di Kota Kinabalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff, manakala semua tertuduh kecuali Hasran diwakili peguam.
Beberapa individu sebelum ini ditahan selepas polis menerima laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lalu di Petaling Jaya, apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.