Tindakan Air Selangor henti bekalan tepat, kata SPAN

Tindakan Air Selangor henti bekalan tepat, kata SPAN

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara berkata kesihatan orang ramai akan berisiko jika tindakan tidak diambil.

air selangor
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara berkata pihaknya turut mengeluarkan arahan agar semua operator air menyediakan pelan kontingensi kecemasan sebagai langkah alternatif kepada pengguna. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempertahan tindakan Air Selangor menghentikan bekalan susulan pencemaran sungai bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada pengguna, semalam.

Agensi itu berkata mengikut Seksyen 55 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Air Selangor bertanggungjawab memutuskan bekalan jika sumber air tidak selamat dan membahayakan kesihatan.

“Jika gagal berbuat demikian, Air Selangor akan melakukan suatu kesalahan.

“Oleh itu, SPAN sebagai badan kawal selia hendaklah memastikan Air Selangor memberhentikan bekalan air dengan serta-merta setelah mendapati berlakunya pencemaran di Sungai Kundang dan Sungai Sembah,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa SPAN mengambil tindakan tegas terhadap Air Selangor berikutan gangguan air tidak berjadual di Kuala Lumpur dan Selangor, akibat pencemaran di dua sungai.

Fomca turut membidas SPAN kerana tidak mempertanggungjawabkan Air Selangor, yang menurutnya menyebabkan syarikat itu kurang berhati-hati dan kurang kesegeraan.

SPAN berkata, pihaknya turut mengeluarkan arahan agar semua operator air menyediakan pelan kontingensi kecemasan sebagai langkah alternatif bekalan air kepada pengguna, dengan keutamaan diberi premis-premis kritikal dalam usaha memastikan kelangsungan bekalan air bersih.

Menurutnya, ketika ini Air Selangor mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk meminimumkan impak gangguan bekalan air sementara menunggu isu pencemaran diselesaikan.

Antara seperti menggerakkan tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, serta mengemaskini situasi semasa secara berkala kepada pengguna melalui saluran-saluran tertentu.

Pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah membawa kepada henti tugas sementara di empat loji rawatan air, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di ratusan kawasan di serata Kuala Lumpur dan Selangor.

Air Selangor menggerakan lori tangki air ke kawasan terjejas dalam wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.