
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata, keperluan TIN disyaratkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai sebahagian daripada sistem e-invois yang akan bermula pada 1 Ogos.
Katanya, Puspakom telah menyepadukan proses pemberian nombor berkenaan dalam laman sesawangnya, MyPuspakom, untuk pelanggan yang membuat tempahan slot pemeriksaan kenderaan dalam talian.
“Pelanggan hanya perlu mengemas kini butiran TIN di MyPuspakom sekali, dan tempahan akan datang akan sama seperti sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
“Pelaksanaan awal ini juga akan membolehkan kami menangani sebarang gangguan yang mungkin berlaku. Kami komited menyokong pelanggan kami sepanjang proses ini.”
Beliau berkata, pelanggan individu hanya perlu memberikan nombor MyKad untuk menempah slot pemeriksaan kenderaan.
“Bagi pelanggan individu, TIN mereka sebenarnya sama dengan nombor fail cukai individu mereka. Begitu juga TIN bagi syarikat, bersamaan dengan nombor (pengenalan) syarikat yang biasanya digunakan untuk tujuan pemfailan cukai,” katanya.
TIN boleh didapati menerusi laman sesawang www.mytax.hasil.gov.my.
Terdahulu, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, pengendali kenderaan komersial seperti teksi, bas dan pihak menjual kenderaan khuatir tentang syarat baharu ini.
Menurutnya, syarat ini dijangka akan merumitkan proses tempahan slot pemeriksaan kenderaan, menyebabkan masa menunggu lebih lama, lapor The Borneo Post.