Sumbangan syarikat arak cemar reputasi sekolah, kata Putera MIC

Sumbangan syarikat arak cemar reputasi sekolah, kata Putera MIC

Ketua Putera MIC Shatesh Kumar Sangar juga berkata tindakan itu bercanggah pekeliling KPM pada 2018.

Shatesh Kumar Sangar KETUA PUTERA MIC
Ketua Putera MIC Shatesh Kumar Sangar menggesa KPM tidak melayan sebarang permintaan mengkaji semula garis panduannya termasuk mengecualikan sekolah vernakular.
PETALING JAYA:
Putera MIC menyokong gesaan Pemuda Umno, rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN) supaya kerajaan mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak menyumbang kepada sekolah.

Ketuanya, Shatesh Kumar Sangar, berkata sumbangan daripada syarikat arak akan mencemarkan reputasi sekolah sebagai institusi intelek dan pembinaan modal insan masa depan.

Merujuk dakwaan sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat pengeluar arak, Shatesh berkata, tindakan itu jelas melanggar pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 29 Mac 2018.

Menurut pekeliling itu, sumbangan kepada sekolah mestilah tidak melibatkan hasil kegiatan perjudian, rokok, dadah dan minuman keras.

“Sebelum ia menjadi norma, perkara ini harus diambil tindakan tegas oleh kerajaan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan.

“Tindakan tegas harus diambil serta-merta ke atas syarikat arak yang melanggar pekeliling kerajaan.”

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak, rokok dan judi memberi sumbangan kepada sekolah, dan meminta pentadbir mengikut garis panduan sedia ada.

Akmal juga menggesa DAP mematuhi peraturan sedia ada, sambil menegaskan industri sukan, termasuk liga bola sepak, juga tidak dibenarkan menerima sumbangan daripada syarikat sedemikian.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang menjelaskan sekolah Cina tersebut menerima pembiayaan daripada pelbagai sumber, termasuk kilang arak selama berdekad.

Bagaimanapun, katanya beliau akan menjelaskan perkara itu kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini.

Dalam pada itu, Shatesh menggesa KPM tidak melayan sebarang permintaan mengkaji semula garis panduan tersebut, termasuk cadangan memberikan pengecualian kepada sekolah vernakular.

“Ini tidak boleh berlaku. Jangan kita gadaikan masa depan generasi akan datang,” katanya.

“Putera MIC tidak sama sekali akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya melanggar pekeliling KPM kerana tindakan ini merosakkan akhlak murid-murid.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.