
“Bagaimanapun, kami mengambil serius atas kebimbangan keselamatan ini dan terus memantau serta memastikan data kami dilindungi setiap masa,” katanya dalam kenyataan di X.
Maybank, bank terbesar mengikut aset di negara ini berkata transaksi dalam talian pelanggannya terus dilindungi, dengan pelbagai langkah membasmi penipuan dilaksanakan, termasuk penggunaan Secure2U bagi mengesahkan transaksi serta tempoh masa agak panjang melibatkan transaksi berisiko tinggi.
“Kami ingin mengingatkan pelanggan untuk terus berwaspada dan melindungi maklumat mereka.
“Sila pastikan ID Pengguna, kata laluan dan butiran peribadi anda selamat, dan berhati-hati terhadap perisian hasad, mesej WhatsApp, laman pancingan data dan panggilan telefon yang meminta bukti kelayakan anda,” katanya.
Terdahulu, platform dalam talian Lowyat.Net melaporkan bahawa pangkalan data yang didakwa mengandungi 22 juta maklumat pelanggan bank itu telah dijual di pasaran web gelap yang popular.
“Pemuat naik itu ‘meminta’ bayaran USD18,000 dalam Tether/Bitcoin untuk pangkalan data itu, yang didakwa mengandungi antara lain nama dan kata laluan pelanggan,” katanya.