
Setiausaha Agung AFC, Windsor John, berkata jika terbukti berlaku pelanggaran proses pemberian lesen kepada kelab, lesen liga daripada AFC berisiko ditarik balik dan menyebabkan tiada wakil Malaysia layak beraksi di peringkat Asia.
“Ya betul, kami sudah membuka fail siasatan dan langkah seterusnya adalah kami akan menghubungi FAM dan MFL untuk memulakan perbincangan bersama Jabatan Pelesenan Kelab yang akan memantau serta melihat proses pemberian lesen.
“Selepas semua maklumat dikumpul, kami akan membuat keputusan menerusi jawatankuasa yang ada. Kesan atau tindakan paling berat adalah tiada wakil boleh kami terima (bermain di pentas Asia),” katanya menurut Berita Harian.
Isu tunggakan gaji dan bayaran lain, termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membelenggu segelintir pasukan Liga M sehingga ada pihak mempersoalkan bagaimana kelab itu diberikan lesen.
Sebelum ini, Kuala Lumpur City FC (KL City) dilaporkan tidak melunaskan bayaran KWSP hampir RM719,000 sejak Februari 2023.
Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, pengerusi First Instance Body (FIB), badan bebas dilantik FAM dilaporkan berkata, pemberian lesen kepada KL City berdasarkan surat deklarasi pembayaran yang dikeluarkan KWSP.
“Bagaimanapun, dengan percanggahan maklumat dinyatakan pihak pengurusan kelab itu sendiri berkaitan kesahihan dokumen dikemukakan kepada FIB, maka FIB akan memulakan siasatan ke atas perkara ini serta-merta.”