
Hashim Jasin berkata kerjasama antara PAS dan Umno, serta Bersatu yang disifatkan sebagai salah satu parti utama Melayu, telah dipersetujui bersama namun gagal disebabkan sikap pemimpin tertentu.
“Bila Umno meletakkan syarat kerjasama ‘PAS perlu tinggalkan Bersatu’ menunjukkan mereka tak bersungguh nak kerjasama,” katanya kepada FMT.
Malah Hashim mendakwa meninggalkan Bersatu bercanggah dengan suruhan Tuhan. “Kalau kita tinggal Bersatu ia bercanggah dengan apa yang Tuhan suruh. Tuhan minta kita jangan berpecah-belah.”
Sebaliknya, Hashim menambah “jika terpaksa PAS bergerak hanya bersama Bersatu lawan Umno dalam PRU16… kita akan hadapi.”
Cakap-cakap tentang MN timbul kembali awal bulan ini, apabila bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, yang baru menyertai Bersatu menggesa Umno dan parti serpihannya itu meneroka cara bekerjasama dan menghidupkan semula MN dengan PAS.
Hashim percaya pemimpin Umno sahaja yang meletakkan syarat tidak mahu Bersatu. “Ahli Umno di bawah kita yakin tidak begitu. Mereka menerima penyatuan ini.”
Perhimpunan Agung Umno 2020 sebulat suara meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum yang akan menyusul ketika itu.
Pada Jan 2022, bekas presiden Najib Razak dilapor menyifatkan alasan Umno pernah bersetuju mengajak Bersatu menyertai MN lalu memungkiri janji sebagai ‘propaganda’.
Menurutnya, surat jemputan kepada Bersatu ditandatangan pada akhir Ogos 2020 tetapi tak sampai tiga minggu kemudian, Perikatan Nasional meletakkan calon untuk melawan Barisan Nasional di 17 kerusi DUN pada PRN Sabah.
Pada Jumaat lepas, Timbalan pengerusi Majlis Ulama Umno, Khairuddin Aman Razali, mengesyorkan PAS mewujudkan suasana yang kondusif untuk kerjasama, dan kerjasama itu hendak menurut “strategi dan situasi semasa yang menguntungkan Islam dan negara”.
Katanya, hubungan dua parti itu hendaklah termasuk dalam kerangka kerajaan perpaduan.
“PAS boleh kerjasama dengan mana-mana parti tapi kita tak boleh terima DAP dalam bekerjasama itu,” kata Hashim.