Rampas peranti, kenakan penjara untuk ‘ajar’ pembuli siber

Rampas peranti, kenakan penjara untuk ‘ajar’ pembuli siber

Peguam Wan Azliana Wan Adnan cadang kerajaan menjadikan buli siber sebagai perlakuan jenayah.

hacker scammer
Malaysia boleh melihat undang-undang mengekang buli siber seperti dilaksanakan di AS, UK, Kanada, Jepun, Australia dan Singapura.
PETALING JAYA:
Rampas peranti dan hukuman penjara antara cadangan patut dipertimbang kerajaan dalam menggubal undang-undang mengekang pembuli siber.

Peguam Wan Azliana Wan Adnan, yang mengetuai kempen penggubalan undang-undang antibuli, berkata Malaysia boleh menjadikan undang-undang digunapakai beberapa negara sebagai panduan.

“Amerika Syarikat, UK, Jepun, dan Australia mempunyai akta khusus mendepani buli siber. Di Malaysia, Kanun Keseksaan tidak memperincikan buli siber, jadi mesti ada peruntukan menjadikan buli siber sebagai jenayah.

“Di Kanada, hukuman bagi pembuli siber adalah peranti anda diambil dan menjalani hukuman penjara,” katanya.

Akta Perlindungan Rakyat Kanada daripada Jenayah Dalam Talian, menyatakan sesiapa disabit kesalahan buli siber juga berdepan lima tahun penjara, dan dikehendaki meminta pesalah membayar pampasan kepada mangsa.

Pesalah juga berdepan tuduhan jenayah gangguan di bawah Kanun Jenayah Kanada, memperuntukan pemenjaraan sehingga 10 tahun jika disabit kesalahan.

Dalam pada itu, pembuli siber di Singapura boleh dikenakan denda sehingga SD5,000 dan hukuman penjara 12 bulan di bawah Akta Perlindungan Gangguan 2014.

Sementara itu, peguam jenayah R Sivahnanthan, berkata ketiadaan undang-undang khusus mewujudkan persepsi buli siber tidak dianggap jenayah serius.

“Minimum hukuman penjara bermula enam bulan hingga setahun akan mengekang orang awam melakukan tindakan sedemikian. Ketika ini, tiada undang-undang khusus meliputi hal itu,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Lee Lam Thye, berkata mengenakan denda kecil tidak akan menjadi pengekang.

“Pemenjaraan adalah sesuatu yang saya rasa berpadanan dan pada masa sama menghantar mesej kuat terhadap pembuli siber,” kata Lee yang juga bekas Ahli Parlimen yang kini aktif sebagai aktivis.

Khamis lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Putrajaya akan meneliti keperluan mewujudkan undang-undang baharu mendepani buli siber. Katanya, undang-undang itu perlu menepati kehendak semasa dan mendepani komunikasi dalam talian pada masa depan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, juga menggesa agensi penguatkuasaan memandang serius pembulian siber dan diperkenalkan hukuman lebih berat.

Minggu lalu, P Shalini, 35, hanya didenda RM100 selepas mengaku salah terhadap pertuduhan menghina pempengaruh TikTok, A Rajeswary. Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, yang memperuntuk denda maksimum RM100.

Rajeswary, 29, ditemukan meninggal dunia di kediamannya, di Setapak, Kuala Lumpur, pada 5 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.