KPM tak kaji semula garis panduan pendanaan sekolah

KPM tak kaji semula garis panduan pendanaan sekolah

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM juga tidak beri pengecualian kepada mana-mana institusi termasuk sekolah vernakular.

Fadhlina Sidek berkata KPM mengalu-alukan sebarang sumbangan namun harus ikut garis panduan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institut pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat.

“Kita masih alu-alukan semua bentuk sumbangan tetapi semua mesti ikut garis panduan.

“Maknanya mesti ada mekanisme yang kita boleh harmonikan keadaan itu supaya mesej yang kita nak sampaikan adalah pendidikan bersama dan sekolah milik masyarakat,” katanya.

Fadhlia berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM dan Malaysian University English Test’ (MUET) 2023 di Dewan Besar MPM Kuala Lumpur.

Beliau mengulas sama ada KPM bersedia memberi pengecualian atau mengkaji semula pendanaan kepada sekolah vernakular terutama dari syarikat swasta.

Isu sumbangan sekolah tercetus susulan penularan gambar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu hadir dalam satu majlis kutipan dana sekolah di Sepang.

Aiman yang juga Ahli Parlimen Sepang menjelaskan sebagai tetamu diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Semalam, KPM mengingatkan pentadbir institusi pendidikan mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Ini termasuk larangan menerima sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.