
Hakim Mahkamah Persekutuan di Los Angeles, pada Isnin, memerintahkan ahli perniagaan dalam buruan, lebih dikenali sebagai Jho Low, menyerahkan tuntutan terhadap cincin berlian 7.35 karat serta subang berlian sepadan, yang kedua-duanya melebihi tiga karat.
Hakim mendapati ia dibeli menggunakan dana berbilion dolar diseleweng daripada 1MDB. Cincin berkenaan dinilai sekitar USD1.17 juta dan subang itu pula dianggar bernilai US$628,000.
Tiga berlian tersebut direka bentuk oleh pereka berprestij berpangkalan di New York, Lorraine Schwartz, yang menurut pendakwa Amerika Syarikat (AS), turut membuat rantai leher berjumlah USD23 juta – bertatah berlian merah jambu untuk dijadikan pemberat kertas – dan secara peribadi dihantar kepada Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Najib Razak, menurut testimoni mahkamah AS.
Hakim Daerah AS Dale Fischer di Los Angeles, menyifatkan berlian dijadikan hadiah daripada Low kepada ibunya, Evelyn, adalah permata ‘hasil jenayah’ diseleweng menerusi penipuan 1MDB.
Low masih diburu oleh pendakwa oleh pihak berkuasa AS dan Malaysia. Pada Jun, Low mencapai persetujuan dengan Jabatan Keadilan AS untuk mengembalikan aset lebih USD100 juta, didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB.
Dia dituduh bersama bekas pegawai perbankan Kumpulan Goldman Sachs, yang disabit pada perbicaraan di New York, pada 2022.
Dalam pada itu, dalam kes berkaitan, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo diarahkan pada Isnin, melucut hak lakaran pensel lukisan Pablo Picasso berjudul ‘Trois Femmes Nues et Buste d’Homme’, dibelinya sekitar USD1.4 juta.
Loo, yang didakwa oleh pihak berkuasa Malaysia dan memberikan keterangan terhadap Najib tahun ini, juga bersetuju menyerahkan USD25,000 dalam akaun bank Swiss, menurut arahan ditandatangani pada Isnin, oleh Fischer.