3 penyokong JDT bakar suar didenda RM100

3 penyokong JDT bakar suar didenda RM100

Tertuduh mengaku bersalah membakar suar di pekarangan Stadium Darulaman selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC, minggu lalu.

Mahkamah Majistret Alor Setar menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap tiga penyokong JDT yang mengaku bersalah membakar suar di pekarangan Stadium Darulaman, Jumaat lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga penyokong kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) masing-masing didenda RM100 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar atas tuduhan membakar suar di pekarangan Stadium Darulaman, Jumaat lalu.

Jalali Hamid, 47, dan Mohd Faizol Mohd Sapian, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zul Hilmi Latif manakala Mohamad An’naffi Sahid, 34, pula membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor, lapor Berita Harian.

Mereka didakwa membakar suar di pekarangan Stadium Darul Aman di Alor Setar kira-kira jam 10.45 malam, 19 Julai lalu selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100 atau dipenjarakan sebulan atau kedua-duanya sekali.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM100 setiap seorang atau penjara 15 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz dan J Banusha, manakala tertuduh diwakili peguam Tasha Farha Mohamad Nizam dan H A Chuah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Semua tertuduh membayar denda berkenaan.

Menurut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis melihat tertuduh menyalakan suar di tempat letak bas penyokong JDT, berhampiran pekarangan stadium berkenaan.

Tertuduh kemudian diarahkan untuk memadamkan suar itu, sebelum diperiksa dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.