
Mohamad berkata keputusan itu dibuat susulan situasi rusuhan yang kian memuncak di negara itu, lapor Sinar Harian.
“Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia Airbus A330 yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dhaka jam 10 pagi esok, kemudian dijangka berlepas pulang sejurus urusan penerbangan pulang selesai,” katanya.
Kementerian Luar (Wisma Putra) semalam berkata, pelajar Malaysia yang terjejas dengan situasi semasa di Bangladesh sudah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi demi keselamatan mereka.
Sehingga lewat Jumaat lalu, daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua sudah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi.
Kerajaan Bangladesh melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang menyebabkan perkhidmatan internet, rangkaian data mudah alih serta pengangkutan awam terganggu.
Demonstrasi yang dimulakan oleh kumpulan pelajar itu bagi membantah sistem kuota pekerjaan yang dilaksanakan oleh kerajaan.