
Pengarah Dasar Awam Meta di Asia Tenggara, Rafael Frankel, berkata syarikat itu dimaklumkan tentang kesilapan dalam terjemahan automatik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.
“Kami sudah membetulkan kesilapan teknikal ini,” katanya dalam kenyataan.
“Kami amat menghormati kerabat diraja Malaysia dan memohon maaf kepada RTM, Majlis Diraja Johor serta pihak lain yang terkesan.”
Meta turut memohon maaf atas kesilapan terjemahan automatik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris catatan Facebook berkaitan hari keputeraan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Semalam, RTM menjelaskan catatan yang dikongsi secara meluas dalam bahasa Inggeris berkaitan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim diterjemahkan secara automatik oleh Facebook daripada teks asal bahasa Melayu.
Perkataan “junjung kasih” diterjemah kepada ucapan takziah dalam teks terjemahan itu.
RTM berkata, teks terjemahan bahasa Inggeris akan muncul jika pengguna mengaktifkan fungsi terjemahan.
Katanya, ia membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menghubungi Meta mengenai kesilapan berkenaan yang telah diakui serta dibetulkan Meta.