Jangan tokok tambah berita, Tok Mat tepis dakwaan kerajaan lepas tangan

Jangan tokok tambah berita, Tok Mat tepis dakwaan kerajaan lepas tangan

Menteri Luar, Mohamad Hasan menegaskan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Bangladesh menjadi keutamaan kerajaan.

Menteri Luar, Mohamad Hasan mengadakan sidang media khas di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Luar, Mohamad Hasan menempelak segelintir pihak mendakwa kerajaan “lepas tangan” berhubung keselamatan pelajar Malaysia di Bangladesh.

Beliau meminta pihak terbabit bertenang dan tidak menokok tambah sehingga merumitkan keadaan dan mencetuskan rasa panik.

Tegasnya, keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Bangladesh menjadi keutamaan kerajaan.

“Mereka yang di luar jangan tokok tambah, janganlah buat nasi tambah, masuk sambal belacan, macam-macam, susahlah.

“Bukan kami biarkan, kami tak biarkan, terutama keselamatan anak-anak kita yang berada di sana, insya-Allah,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media khas di Putrajaya.

“Saya berharap pihak yang menokok tambah berita mengatakan kami pihak Kementerian Luar dan kedutaan tidak berbuat apa-apa supaya bertenang.

“Dari hari pertama ibu pejabat di Wisma Putra berurusan dengan kedutaan kita di Dhaka dan saya sendiri berurusan, kadang-kadang dua, tiga kali sehari semasa komunikasi masih baik sehinggalah komunikasi menjadi sangat rendah (bermasalah),”

Beliau mengulas dakwaan segelintir pihak mengatakan kerajaan tidak mengambil peduli dan enggan membawa pulang semua rakyat Malaysia terkesan rusuhan di Bangladesh.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, tidak timbul isu kerajaan tidak ambil peduli pelajar Malaysia di Bangladesh.

“Dari hari pertama (rusuhan), mereka sudah berjumpa (pihak kedutaan) dinasihatkan mana yang boleh duduk hostel (asrama), disewakan bas, ada pegawai mengiringi mereka sampai selamat.

“Manakala di Mymensingh Medical College (MMC) yang jauh lima ke enam jam perjalanan dari Dhaka, keadaan tidak begitu serius, mereka dinasihati tinggal di kampus dan bekalan makanan sudah sampai, sudah dihantar kepada anak-anak kita di kampus terbabit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.