
Mengulas laporan pertemuan antara pemimpin PAS dan Umno seperti didakwa Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi percaya perjumpaan itu bukan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti, malah sekadar ‘bual kosong di kedai kopi’.
“Mereka mungkin pemimpin Umno digantung, dipecat atau masih ada keinginan balik ke mainstream Umno, mereka bukan wakil parti.
“Nasihat saya kepada golongan desperado dalam Umno, cukuplah cubaan untuk memecahkan Umno,” katanya kepada FMT.
Hari ini, sebuah media memetik kenyataan Fadhli mendakwa berlaku beberapa siri pertemuan PAS bersama pemimpin Umno ketika ini, bagi membincangkan kerjasama menjelang PRU16.
Fadhli berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti, yang dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu.
Sebelum ini, bekas ahli MKT Umno, Isham Jalil, berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama PH atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu-Islam menerusi Muafakat Nasional (MN).
Isham berkata objektif utama sebelum PRU16 adalah untuk mengembalikan MN supaya parti Melayu-Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung untuk mencapai kemenangan.
Presiden Umno, Zahid Hamidi, bagaimanapun pada 8 Julai lalu memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Hadi Awang menjadi presiden.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menyangkal dakwaan wujud ‘perbincangan kerjasama PRU16’ antara pemimpin parti itu dengan PAS seperti didakwa.
Mengulas lanjut, Puad berkata kerjasama Umno dan PAS tidak pernah lagi dibangkitkan dalam mesyuarat MKT, sebaliknya fokus ketika ini mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.
“Ikut keputusan parti. Kalau masih dengan perangai lama, Umno akan hilang fokus untuk menghadapi PRU16,” katanya.