250 ahli kesatuan piket di 5 bank

250 ahli kesatuan piket di 5 bank

Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank berkata, ia mempunyai pelbagai tuntutan, termasuk gaji yang adil dan menghentikan cubaan menghapuskan kesatuan.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank mahu gaji dan manfaat adil, serta memastikan semua pekerja bank diberi ganjaran saksama. (Gambar NUBE)
PETALING JAYA:
Lebih 250 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menyertai piket aman di lima bank seluruh negara sekitar tengah hari tadi.

NUBE dalam kenyataan berkata, bantahan itu untuk mengetengahkan pelbagai isu utama, termasuk cubaan berterusan pengurusan bank menghapuskan kesatuan, gaji terlalu tinggi dibayar kepada CEO, akses latihan, gaji adil dan persekitaran kerja yang selamat.

Katanya, terdapat usaha berterusan mendapatkan gaji dan manfaat adil, serta memastikan semua pekerja bank diberi ganjaran saksama atas kerja keras dan dedikasi mereka.

Menurutnya, pekerja bank dinafikan peluang menghadiri program latihan dan peningkatan kemahiran berbayar, yang dikatakan penting untuk kemajuan kerjaya serta jaminan pekerjaan.

Bank perlu menangani isu buli, diskriminasi dan gangguan di tempat kerja, serta mendorong budaya hormat dan maruah buat semua pekerja.

Ia berkata, tiada campur tangan polis yang turut hadir ketika piket diadakan.

Katanya, piket itu diterima baik orang ramai yang turut tidak berpuas hati dengan gaji CEO.

Di sebuah cawangan, pelanggan bertindak menaja air minuman bagi peserta piket.

Menurutnya, tindakan lanjut sedang dirancang, tetapi tiada butiran diberikan.

NUBE berkata, ia akan terus berdiri teguh, memperjuangkan layanan adil dan keadilan untuk semua ahlinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.