Tiada parti komponen, Friends of BN dipinggir, kata Zahid

Tiada parti komponen, Friends of BN dipinggir, kata Zahid

Pengerusi BN berkata, semua parti komponennya dan 'Friends of BN' sentiasa melakukan sesi libat urus serta perbincangan bersama mengenai pelbagai isu.

Zahid Hamidi (dua dari kanan) menghadiri Himpunan dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Sandakan hari ini. Turut hadir Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin (dua dari kiri), Presiden MCA, Wee Ka Siong (kanan) dan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup (kiri). (Gambar Bernama)
SANDAKAN:
Tiada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan “Friends of BN” dipinggirkan, sebaliknya semua disantuni dengan baik, kata Pengerusi BN, Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata, semua parti komponen BN dan “Friends of BN” sentiasa melakukan sesi libat urus serta perbincangan bersama mengenai pelbagai isu.

Katanya, Presiden MCA, Wee Ka Siong yang juga naib pengerusi BN diberikan penghormatan berucap dan merasmikan Himpunan serta Konvensyen BN Sabah hari ini, membuktikan parti komponen itu penting kepada BN.

“PRK dan PRU yang lalu kerusi-kerusi juga telah diperuntukkan, walaupun tidak semua, tetapi kita beri peluang kepada ‘Friends of BN’ bertanding. Soal penyantunan ini telah dilakukan.

“Kita tidak mahu pandangan atau tafsiran daripada rakan atau mereka di luar BN, maka kita terjebak dalam komen negatif yang dibuat mereka, kita jaga kita,” katanya selepas menutup Himpunan dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di sini.

Turut hadir Naib Pengerusi BN, Arthur Joseph Kurup yang juga presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin.

Sebuah portal berita sebelum ini memetik sumber mendakwa akar umbi MCA tidak lagi gembira dengan kedudukan parti itu dalam BN dan berasa dipinggirkan dalam kerajaan sekarang.

Zahid berkata, pelantikan jawatan dalam kerajaan, terutama menteri dan timbalan menteri di bawah bidang kuasa perdana menteri.

“Kalau mereka tiada wakil dalam Kabinet, itu bawah perdana menteri, insya-Allah bila ada pertemuan, saya bisikkan perkara itu untuk beliau berikan peluang kepada pemimpin dalam komponen BN.

“Kalau tidak pun dalam Kabinet, mungkin tempat lain difikirkan diberi peluang kepada rakan parti lain untuk bersama, malah mereka ada pengalaman,” katanya sambil menambah usaha perlu diteruskan untuk BN bangkit dalam arena politik negara.

Adun Umno sertai PAS

Zahid berkata, BN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Adun Rembia, Muhamad Jailani Khamis yang menyertai PAS.

“Walaupun Jailani masuk PAS pada Jun tahun lalu, tetapi beliau hanya mengeluarkan kenyataan baru-baru ini. Beliau harus ingat sebelum jadi calon, beliau menandatangani beberapa dokumen. Parti akan mengambil tindakan perundangan berdasarkan dokumen ditandatangani dia itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.