‘Suap’ polis RM250, buruh Myanmar didenda RM5,000

‘Suap’ polis RM250, buruh Myanmar didenda RM5,000

Tertuduh didakwa memberikan rasuah kepada polis sebagai dorongan untuk tidak menangkapnya kerana menjual barangan lusuh tanpa lesen.

Mohammad Shakir Mohammad Zokoria tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk menghadapi tuduhan hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang buruh warga Myanmar didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberikan suapan RM250 kepada seorang pegawai polis minggu lepas.

Mohammad Shakir Mohammad Zokoria, 27, didakwa memberikan suapan wang itu kepada seorang inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dungun pada 15 Julai di Balai Besar Alor Tempoyak, Dungun.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak menangkapnya atas kesalahan bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai 1946, iaitu tidak mempunyai lesen untuk melakukan kegiatan perniagaan barangan lusuh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norashima Khalid turut menetapkan hukuman enam bulan penjara sekiranya Mohammad Shakir gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda terbabit.

Mahkamah turut membenarkan wang rasuah RM250 itu dilucut hak kepada kerajaan bawah Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof manakala Mohammad Shakir tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.