Platform media sosial akan kena ‘tindakan sangat tegas’, kata Fahmi

Platform media sosial akan kena ‘tindakan sangat tegas’, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata, semua platform media sosial perlu bertanggungjawab memerangi penipuan, buli siber dan penyebaran berita palsu.

FAHMI FADZI
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas demi keselamatan semua orang, khasnya kanak-kanak dan keluarga.
CYBERJAYA:
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membayangkan tindakan tegas akan diambil terhadap platform media sosial tidak lama lagi.

Beliau berkata, ini perlu kerana lebih ramai rakyat Malaysia dibelenggu masalah media sosial seperti penipuan, penyebaran berita palsu dan buli siber, sehingga ada yang mengambil tindakan membunuh diri.

“Jadi, selepas ini semua platform media sosial harus bertanggungjawab dan insya-Allah kita akan ambil tindakan yang sangat tegas dalam masa beberapa hari ini,” katanya selepas program Jiwa Merdeka.

Menurutnya, langkah itu demi memastikan keselamatan semua orang, khasnya kanak-kanak dan keluarga.

Fahmi turut menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melakukan sesuatu terhadap masalah media sosial yang dihadapi rakyat Malaysia.

“Tan Sri (Salim Fateh Din, pengerusi SKMM), di hadapan semua, termasuk Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan Ketua Setiausaha Negara (Zuki Ali), saya arahkan awak untuk buat sesuatu.”

Rabu lalu, Fahmi menyuarakan kekecewaan terhadap denda RM100 ke atas seorang wanita terbabit kes buli siber pempengaruh TikTok, A Rajeswary atau dikenali sebagai Esha.

Esha ditemui meninggal dunia di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah diterimanya.

Selasa lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap P Shalini yang mengaku bersalah berkelakuan menghina dengan niat menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.

Fahmi turut dilaporkan berkata, beliau sedang mengkaji cara SKMM mengambil tindakan terhadap individu membuat komen jelik di media sosial, khasnya di platform seperti TikTok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.