
“Kementerian memahami kebimbangan rakyat Malaysia mengenai keselamatan ahli keluarga mereka di Bangladesh. Selain menilai perkembangan terkini dengan teliti, kementerian dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada, termasuk pemindahan jika perlu.
“Kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan lain untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian juga menggesa semua pelajar Malaysia kekal berhubung dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi di sana.
“Kementerian telah mengaktifkan bilik operasi yang boleh dihubungi ahli keluarga terdekat pelajar Malaysia di Bangladesh menerusi talian +603-8887 4570 atau e-mel [email protected].”
Rakyat Malaysia dinasihatkan berhati-hati dengan individu menjanjikan bantuan untuk mereka di Bangladesh dan mengesahkan sebarang maklumat dengan menghubungi bilik operasi itu.
Ia menggesa semua rakyat Malaysia di Bangladesh mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, selaras perintah berkurung yang sedang berkuatkuasa.
Wisma Putra akan memantau rapi situasi itu dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Sehingga lewat Jumaat lalu, daripada 95 pelajar Malaysia di Bangladesh, dua sudah meninggalkan Dhaka baru-baru ini dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi.
Kerajaan Bangladesh melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara mulai semalam sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang menyebabkan perkhidmatan internet, rangkaian data mudah alih serta pengangkutan awam terganggu.