
Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor, menjelaskan perkara itu kuasa mutlak speaker seperti termaktub dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Justeru, beliau berkata ‘kritikan melampau’ pihak tertentu yang tidak bersetuju keputusan Johari mengekalkan kerusi Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan tidak menjejaskan institusi speaker dan Dewan Rakyat.
“Bagi saya integriti tak jatuh langsung kerana hak speaker di dalam ini (peraturan mesyuarat)…kalau kamu tak suka hak kamu juga.
“Kalau kita kurang ilmu, kurang pengetahuan tentang undang-undang, kurang pengetahuan tentang sistem pengurusan pentadbiran Parlimen kita akan dapat pandangan negatif, bermacam-macam pendapat. Jadi kita lihat pada undang-undang, siapa diberi kuasa sepenuhnya, (kuasa ada) pada speaker,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Ahli Parlimen Cameron Highlands mengulas kritikan terhadap Johari susulan keputusan itu khususnya oleh pembangkang yang tidak berpuas hati kerana kerusi terbabit tidak dikosongkan bagi membolehkan PRK diadakan.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam sidang media susulan perkara itu berkata, partinya akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan speaker.
Malah, pengerusi Perikatan Nasional menyifatkan tindakan Johari membuat tafsiran yang mencemar peruntukan akta antilompat parti bersifat dangkal, songsang, serta harus dicela.
Keputusan itu turut dikritik pihak kerajaan antaranya Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR Hassan Abdul Karim.
Sementara itu, Ramli berkata ada peruntukan mengatakan keputusan speaker tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Beliau berkata, jadi pihak tidak berpuas hati yang mahu membawa perkara itu ke mahkamah perlu melihat Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.
“Saya kalau buat keputusan berpegang pada kitab ini (peraturan mesyuarat), Perkara 63(1) menyatakan keistimewaan Parlimen, keesahan apa-apa prosiding dalam satu majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasa tidak boleh dipersoalkan dalam mana mana mahkamah,” katanya.