Guru rugi lebih RM135,000 diperdaya ‘phone scam’

Guru rugi lebih RM135,000 diperdaya ‘phone scam’

Mangsa berusia 25 tahun membuat 11 transaksi ke enam akaun berlainan.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata mangsa terpedaya selepas dimaklum konon nombor telefon digunakan sebar pautan tidak sah.
KUANTAN:
Guru wanita kerugian RM135,150 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata pada mulanya wanita berusia 25 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa pegawai Jabatan Komunikasi Digital, Bahagian Penyekatan Rangkaian, pada 2 Julai.

Beliau berkata, mangsa dimaklumkan nombor telefon digunakannya telah menyebarkan pautan tidak sah di Perak.

“Panggilan telefon itu telah disambungkan kepada suspek kononnya pegawai polis dan telah meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi tujuan siasatan.

“Mangsa yang terperdaya telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM128,000 selain menggunakan wang simpanan untuk melakukan 11 transaksi ke enam akaun bank berlainan hingga kerugian sebanyak RM135,150,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, mangsa menyedari ditipu apabila membuat semakan menerusi aplikasi Google berkaitan penipuan dalam talian dan kemudian membuat laporan di IPD Rompin semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.