Bersekutu sedia ikut Muafakat Nasional jika Bersatu sertai, kata ketua

Bersekutu sedia ikut Muafakat Nasional jika Bersatu sertai, kata ketua

Chong Fat Full berkata Muafakat Nasional (MN) yang kini cuba dihidupkan semula untuk menggabungkan parti Melayu dan Islam menjelang PRU16 tidak akan meminggirkan kaum lain.

chong fat full
Chong Fat Full berkata usaha menghidupkan Muafakat Nasional (MN) juga boleh menjadi pilihan Perikatan Nasional (PN) memenangi PRU16.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin sayap Bersekutu Bersatu berkata Muafakat Nasional (MN) cuba dihidupkan semula tidak akan meminggirkan kaum lain di sebalik objektifnya menguatkan gabungan parti Melayu dan Islam menjelang PRU16.

Malah, Ketuanya Chong Fat Full berkata sayap ditubuhkan mengumpul ahli Bersatu bukan Bumiputera itu bersedia menyertainya jika cadangan disuarakan oleh Mursyidul Am PAS Hashim Jasin terbabit menjadi realiti.

Menurutnya, cadangan itu juga boleh menjadi pilihan untuk Perikatan Nasional (PN) memenangi PRU16 dengan menarik seramai mungkin sokongan orang Melayu.

“Bersekutu tidak anggap penyatuan ummah sinonim dengan peminggiran kaum lain, kami berinteraksi mesra dengan pimpinan PAS selama ini.

“Jika Bersatu mahu menyertai gabungan MN, Bersekutu akan ikut bersama,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas sama ada cadangan menghidupkan MN disuarakan oleh Hashim kelmarin akan meminggirkan kaum lain termasuk parti bukan mewakili Islam, Melayu dan Bumiputera di dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersekutu Bersatu.

Lidah rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan Hashim berkata MN wajar dibentuk semula dengan wajah baharu menuju PRU16 supaya penyatuan ummah antara orang Melayu akan mengukuhkan lagi kedudukan politiknya di negara ini.

Namun katanya, sebarang kerjasama masa depan perlu mengambil kira perubahan dan pendirian semasa Umno, yang kini bekerjasama dengan DAP menerusi kerajaan perpaduan dibentuk selepas PRU15.

Minggu lalu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada mahu bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi MN.

Isham berkata objektifnya untuk mengembalikan MN sebelum PRU16 supaya parti Melayu Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung mencapai kemenangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.