Umno, MCA pun suarakan hal sama, ketua PKR Johor pertahan akar umbi

Umno, MCA pun suarakan hal sama, ketua PKR Johor pertahan akar umbi

Bagaimanapun, Syed Ibrahim Syed Noh berkata kenyataan pemimpin PKR Sri Gading bahawa PH mampu rampas Johor dari BN jika PRN diadakan bukan kenyataan rasmi parti itu.

syed ibrahim
Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya tidak menghalang akar umbi PKR daripada menyuarakan sesebuah isu.
PETALING JAYA:
PKR Johor tidak menghalang akar umbinya menyuarakan sesuatu isu, kata Ketuanya Syed Ibrahim Syed Noh mengulas kenyataan pemimpinnya di Sri Gading yang Pakatan Harapan (PH) mampu merampas negeri dari Barisan Nasional (BN) jika PRN dalam masa terdekat.

Dakwanya perkara sama juga dilakukan sekutunya dalam kerajaan perpaduan – Umno dan MCA, terbaharu Ketua Umno Johor Onn Hafiz Ghazi pada 6 Jul lalu yang dilaporkan berkata inisiatif merampas semula Parlimen Sri Gading perlu dibuat partinya.

Kerusi itu kini diwakili Ketua PH Johor Aminolhuda Hassan.

Bagaimanapun, Syed Ibrahim berkata kenyataan dibuat Setiausaha PKR Sri Gading Muhamad Hanis@Hans Azman Atar bukan pendirian rasmi parti, sambil menegaskan belum ada lagi sebarang perbincangan mengenainya.

“Kita tak halang tapi sebagai parti dalam kerajaan perpaduan perlu kepada sikap bahawa pentadbiran ini perlu stabil…di peringkat akar umbi itu biasalah kadang-kala ada sedikit pandangan berbeza,” katanya kepada FMT.

“Itulah asam garam politik, kalau kita tengok MCA dan Umno pun ada juga (bangkit perkara sama) tapi di peringkat tertinggi kita urus dengan baik.”

Hari ini, media melaporkan kenyataan Muhamad Hanis yang turut mendakwa PH mampu memenangi sekurang-kurangnya 33 kerusi jika PRN diadakan sekarang dengan jangkaan itu dibuat berdasarkan keputusan PRU15.

Pada PRN Johor 2021, BN menang 40 kerusi manakala 12 oleh PH, Perikatan Nasional (3) serta Muda (1).

Bagaimanapun, BN pada PRU15 hanya menang sembilan kerusi Parlimen sementara PH menguasai 14 manakala dua dimenangi PN dan Muda mengekalkan Parlimen Muar.

Kenyataan Muhamad Hanis itu menyusul ucapan Onn Hafiz yang juga menteri besar Johor bahawa inisiatif perlu dilakukan segera bagi memastikan Umno dapat merampas kembali kerusi Parlimen Sri Gading.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.