Qunut nazilah selepas Wan Fayhsal digantung untuk siapa, PKR bidas pembangkang

Qunut nazilah selepas Wan Fayhsal digantung untuk siapa, PKR bidas pembangkang

Ketua biro agama PKR Amidi Abdul Manan berkata pembangkang diminta tidak menjadikan Islam sebagai tunggangan meraih sokongan politik.

Ahli Parlimen PN membacakan qunut nazilah selepas Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri Dewan Rakyat selama enam bulan.
PETALING JAYA:
Biro agama PKR membidas tindakan pembangkang membaca qunut nazilah selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, semalam.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan berkata bacaan doa diketuai Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail itu dikesali kerana amalan berkenaan dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika berperang dengan tentera kafir.

Jelasnya, tindakan oleh pembangkang itu ibarat menyamakan persaingan politik dengan seteru Rasulullah dan umat Islam.

Amidi Abdul Manan.

“Di sini saya ingin bertanya pihak mana yang ditujukan qunut nazilah ini? Kelompok Ahli Parlimen bukan Islam kah? Atau semua Ahli Parlimen yang menyokong hukuman termasuk yang Islam, dianggap sebagai orang-orang kafir sama seperti musyrikin Mekah?

“Ia jelas suatu sikap yang berasal dari ketaksuban sempit (asabiyyah) kepartian. Bukan dari ajaran Islam. Jangan jadikan agama Islam sebagai tunggangan bagi meraih sokongan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Wan Fayhsal daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 1 Jul lalu.

Ahli Parlimen pembangkang kemudian menyambut keputusan itu dengan membaca qunut nazilah yang lazimnya dilakukan umat Islam bagi mendoakan musuh agama atau ketika berperang.

Tindakan membaca qunut nazilah itu sebelum ini ditegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar yang menyifatkan mendoakan kehancuran pemimpi negara dengan bacaan doa itu, perbuatan tidak wajar.

Beliau berkata kebencian kepada pemimpin tidak sepatutnya hingga tahap mendoakan keburukan termasuk mencerca.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.