PRK Nenggiri: Umno mungkin enggan penceramah guris hati pengundi, kata penganalisis

PRK Nenggiri: Umno mungkin enggan penceramah guris hati pengundi, kata penganalisis

Rusdi Omar berkata tindakan Umno mahu menapis pemimpin kerajaan perpaduan yang datang berkempen kerana tidak mahu ceramah guna bahasa kasar.

Umno akan membawa cabaran kerajaan perpaduan pada PRK Nenggiri, 17 Ogos depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bimbang ucapan mengguris hati pengundi mungkin menjadi punca Umno Kelantan mahu menyaring pemimpin kerajaan perpaduan untuk kempen PRK DUN Nenggiri, kata penganalisis.

Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Umno pastinya mahu peluangnya merampas semula kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN) tidak terjejas disebabkan ucapan segelintir pemimpin yang mungkin dianggap keras.

“Dalam suasana politik Kelantan mungkin pemimpin yang kasar bahasanya apabila berceramah di pentas tidak diperlukan oleh Umno untuk turun kempen di Nenggiri.

“Bukan soal mereka tak sebulu (pemimpin PH-BN) tetapi tapisan perlu untuk menjernihkan suasana politik,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Ketua Penerangan Umno Kelantan Kelantan Zawawi Othman berkata pemimpin kerajaan perpaduan ingin berkempen untuk BN pada PRK 17 Ogos itu perlu disaring untuk mendapat kebenaran daripada Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahmad Jazlan Yaakub.

Razaleigh, ketua Umno Gua Musang atau lebih dikenali Ku Li dilantik pengarah bagi pilihan raya 17 Ogos itu manakala Jazlan bertindak pengarah operasi.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berpandangan Umno Kelantan mungkin mahu mengelakkan ada pemimpin tersalah cakap sehingga menjadi polemik dan menimbulkan kemarahan rakyat berkait isu nasional.

“Tapisan mungkin sebab BN nak ramai pemimpin Melayu turun kempen tanpa melibatkan DAP memandangkan Nenggiri masih ramai ahli dan penyokong Umno…bimbang ganggu kempen pula nanti,” katanya.

Sementara itu, Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia berkata tindakan Umno Kelantan membuat tapisan itu boleh menyebabkan rakyat menilai wujud rasa tidak percaya satu sama lain di kalangan parti kerajaan perpaduan.

“Dari sudut lain pula langkah itu dibuat kerana lebih mengenali kehendak setempat memandangkan telah lama bertapak di Nenggiri.

“Mereka nak pastikan dapat undi Melayu kerana dalam kerajaan perpaduan hanya Umno dilihat mampu berbanding PH…Amanah sendiri dilihat gagal,” katanya.

PRK Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong apabila dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.

Keahlian Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.