Majlis Raja-Raja bincang pelantikan pengerusi SPA, SPR

Majlis Raja-Raja bincang pelantikan pengerusi SPA, SPR

Turut dibincangkan cadangan dasar baharu pindaan Bahagian III Perlembagaan berhubung perkara kewarganegaraan.

KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-266 yang diadakan di Istana Negara selama dua hari bermula semalam antara lain membincangkan mengenai pelantikan pengerusi dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan profesor diraja.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan perkara lain yang turut dibincangkan cadangan dasar baharu pindaan Bahagian III Perlembagaan berhubung perkara kewarganegaraan.

Kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hadir pada hari kedua mesyuarat yang berlangsung hari ini diiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Majlis disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Mohammad Ab Rahman,” menurut kenyataan.

Mesyuarat dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.