
Siasatan mendapati kandungan dimuat naik pada platform media sosial ketiga-tiga individu berkenaan melibatkan komen lucah yang ditujukan kepada bayi seorang doktor.
“Penggunaan perkataan lucah tersebut ditulis di ruangan komen sebuah portal hiburan yang menerbitkan satu artikel berkenaan amalan khatan bayi perempuan di United Kingdom,” menurut kenyataan.
Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati, atau mengganggu orang lain yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.
SKMM mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mengeluarkan kata-kata jelik dan menjijikkan, atau dalam kes berkenaan kata-kata yang bersifat seksual tentang alat sulit bayi perempuan adalah tindakan tidak bermoral dan melanggar undang-undang.
Suruhanjaya itu berkata ia komited meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, dan tidak sesekali berkompromi dengan mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap kanak-kanak.